Al Khawarizmi ahli matematik teragung

February 13, 2007 | Artikel

ABU Abdullah Mohammad Ibn Musa al-Khawarizmi adalah Bapa Algebra. Tarikh
lahir dan kematiannya yang tepat tidak diketahui tetapi beliau dikatakan
hidup di antara tahun 790 sehingga 840 Masihi. Ada juga yang menyatakan
beliau lahir pada tahun 780 Masihi dan meninggal dunia pada tahun 850
Masihi.

Lebih dikenali sebagai Al Khawarizmi di kalangan ahli sains dan merupakan
seorang ahli sains Islam yang terulung dalam ilmu matematik.Beliau juga
merupakan seorang ahli astronomi dan geografi yang terkenal pada zamannya.

Gelaran Al Khawarizmi diberi kepada beliau sempena tempat kelahirannya di
Khawarizm yang terletak di selatan Laut Aral.Beliau lahir di sebuah tempat
bernama Kath iaitu sebahagian daripada daerah Khawarizm.

Kath kini telah lenyap akibat ditenggelami pasir. Kehidupan kanak-kanaknya
kurang diketahui tetapi ibu bapanya telah membawanya berhijrah ke Baghdad,
Iraq ketika beliau masih kecil.

Khawarizmi merupakan salah seorang ahli matematik yang teragung dan jasanya
akan dikenang sampai bila-bila oleh seluruh masyarakat dunia.

Beliau sebenarnya merupakan pengasas kepada beberapa cabang dan konsep asas
matematik. Hasil kerjanya dalam algebra begitu cemerlang dan beliau tidak
hanya mempunyai inisiatif terhadap subjek dalam pembentukan sistematik
tetapi juga bertanggungjawab membangunkan penyelesaian analitikal dalam
pengembangan garis lurus serta persamaan kuadratik.

Persamaan kuadratik ialah satu persamaan di mana kuasa kedua tanpa kuasa
lebih tinggi digunakan bagi yang tidak diketahui (x2 + 2x – 8 = 0).

Kejayaan itu akhirnya menjadikannya pengasas Algebra. Nama Algebra diperoleh
daripada bukunya yang terkenal iaitu Al-Jabrwa-al-Muqabilah.

Beliau turut menjelaskan dengan teliti kegunaan sifar – iaitu sistem angka
yang dibangunkan oleh orang Arab.

Pada masa yang sama, beliau membangunkan sistem perpuluhan dan dengan itu,
keseluruhan sistem nombor angka, algorithm atau algorizm memperoleh nama
selepas dibangunkan oleh orang Arab.

Dalam usahanya memperkenalkan sistem angka India (kini dikenali angka Arab),
beliau telah membangunkan beberapa prosedur kira-kira termasuk operasi dan
pecahan.

Sistem angka itu kemudiannya diperkenalkan kali pertama oleh orang Arab
kepada Barat yang mana hasil kerjanya telah diterjemahkan ke dalam bahasa
Eropah.

Jasa beliau yang lain ialah membangunkan secara terperinci bidang
trigonometri iaitu ilmu matematik mengenai sudut dan sempadan segitiga yang
mengandungi fungsi sine.

Beliau juga menyempurnakan teori geometri yang mewakili muka keratan kon dan
membangunkan kalkulus yang mana membantunya menguasai konsep perbezaan.

Beliau juga dilaporkan bekerjasama dalam pengukuran darjah di bawah perintah
Mamun al-Rashid yang bertujuan mengukur isipadu dan lilitan bumi.

Pembangunan ilmu kaji bintang atau ilmu falak olehnya mempunyai makna yang
cukup besar terhadap kemajuan dalam bidang sains astronomi – yang mana
beliau turut menulis buku mengenainya.

Sumbangan Khawarizmi dalam ilmu geografi turut cemerlang. Beliau tidak hanya
menyemak pandangan Patolemy mengenai geografi tetapi juga membetulkannya
termasuk dalam melakar peta dunia.

Al Khawarizmi merupakan saintis pertama yang melakar peta dunia pada tahun
830 Masihi iaitu 10 tahun sebelum beliau meninggal dunia.

Hasil kerjanya yang lain turut meliputi kerja-kerja asal berkaitan dengan
jam, alat yang menunjukkan waktu dengan bayangan matahari serta kaji
bintang.

Hasil penemuannya dibukukan dan beberapa bukunya telah diterjemahkan ke
dalam bahasa Latin pada awal kurun ke-12.

Sebenarnya, bukunya mengenai kira-kira, Kitab al-Jam'a wal-Tafreeq bil Hisab
al-Hindi telah hilang di benua Arab tetapi masih boleh diperoleh dalam buku
yang diterjemahkan ke dalam bahasa Latin.

Bukunya mengenai Algebra iaitu Al-Maqala fi Hisab-al Jabr wa-al-Muqabilah
juga telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin pada kurun ke-12 dan ia
adalah terjemahan yang diperkenalkan dalam dunia sains baru kepada Barat.

Hasil kerjanya dalam ilmu falak turut telah diterjemahkan ke dalam bahasa
Eropah dan kemudian ke dalam bahasa Cina.

Buku geografinya, Kitab Surat-al-Ard bersama-sama peta lakarannya juga telah
diterjemahkan. Selain itu, beliau turut menulis kalendar Yahudi, Istikhraj
Tarikh al-Yahud.

Beliau juga menulis Kitab al-Tarikh dan buku mengenai alat yang menunjukkan
waktu dengan bayangan matahari dikenali Kitab al-Rukhmat.

Malangnya kedua-dua buku itu telah hilang.Pengaruh Khawarizmi dalam
perkembangan ilmu sains khususnya matematik, astronomi dan geografi kini
menjadi lakaran sejarah.

Buku-bukunya turut menjadi buku teks di beberapa universiti sehingga kurun
ke-16.

Laman web rujukan:

www.malaspina.com/site/person_713.asp

www.islamicity.com/Science/Scientist/Khawirizmi.htm
www.ummah.org.uk/history/scholars/KHAWARIZ.html

Tags:

Comments are closed.